PENAFIAN

Sebarang maklumat, artikel, pandangan atau bahan penulisan yang tertera dalam blog ini yang bukan ditulis atau disediakan oleh pemilik blog adalah menjadi tanggungjawab atau liabiliti sepenuhnya penyumbang atau penghantar bahan berkenaan dan pemilik blog menafikan sebarang tanggungjawab atau liabiliti ke atas bahan itu.

Jumaat, November 14, 2008

AKIBAT BERTOLAK ANSUR

Kelantangan beberapa pihak daripada kalangan kelompok bukan Melayu termasuk parti-parti politik dalam soal berkaitan hak dan kedudukan orang Melayu mula menimbulkan banyak polemik. Malah selain tuntutan agar ekuiti 30 peratus kepada bumiputera dihapuskan tulisan Jawi yang dipamerkan di papan-papan tanda juga turut diancam. Keadaan ini sudah tentulah menimbulkan keresahan di kalangan pelbagai pihak terutamanya orang Melayu.

Mereka mempertikaikan kenapakah kelantangan seumpama itu semakin kerap didengari biarpun sesetengah perkara yang dibangkitkan itu sudah termaktub dalam Perlembagaan dan tidak sewajarnya diganggu-gugat. Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Hassan Ahmad merumuskan bahawa segala-galanya berlaku kerana sikap orang Melayu yang suka bertolak-ansur serta kedudukan politik Melayu kini yang dilihat semakin melemah.

‘‘Kesudahannya orang lain mengambil kesempatan di atas sikap kita itu sedangkan mereka sendiri tidak mahu bertolak ansur terhadap hak dan kepentingan mereka,’’ katanya yang juga Ketua Pegawai Yayasan Karyawan Malaysia. Oleh itu Dr. Hassan berharap pemimpin-pemimpin Melayu bertegas dalam soal yang menyentuh perkara-perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. Pada pandangan beliau, ketegasan yang hendak ditunjukkan bukanlah bererti orang Melayu bersikap perkauman tetapi mempertahankan dasar kebangsaan yang digubal dalam Perlembagaan melalui persetujuan semua kaum. Walaupun tidak terlibat dalam politik dan bukan ahli UMNO, Dr.Hassan juga turut melontar sedikit nasihat kepada ahli parti itu berhubung pemimpin seperti manakah yang mereka perlu bagi memastikan hak dan kepentingan Melayu mampu terus diperjuangkan.

MINGGUAN: Bagaimanakah Datuk melihat tindakan sesetengah pihak yang semakin kerap menggugat kepentingan Melayu?

DR. HASSAN: Bangsa Melayu sejak 700 tahun dahulu telah meninggalkan satu pusaka atau warisan yang luar biasa. Saya berani mengatakan bahawa jarang ada bangsa-bangsa lain di dunia yang mempunyai begitu banyak kelebihan seperti bangsa Melayu. Pertama, satu kelebihan yang ada kepada bangsa Melayu sejak abad ke-12 ialah bahasa Melayu. Bahasa itu mampu berkembang sebagai bahasa merentas semua sempadan. Ia menjadi bahasa persuratan lingua franca bukan sahaja dalam soal perdagangan tetapi juga politik. Itulah kelebihan Melayu yang berjaya mengembangkan bahasanya bukan melalui penjajahan seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan beberapa bahasa penjajah yang lain. Kelebihan kedua ialah agama Islam yang menjadi agama sejagat dan mampu merentas sempadan serta membentuk satu tamadun ummah yang besar. Jadi warisan ini ditinggalkan kepada kita sampai ke hari ini. Tetapi persoalannya kenapa kita biarkan kaum- kaum lain yang datang dari luar budaya dan sosial Melayu seperti dari China, India dan Arab mencabar warisan ini? Oleh itu saya berpendapat cabaran yang kita hadapi hari ini bukanlah cabaran daripada orang luar tetapi daripada bangsa Melayu sendiri.

Kenapa Datuk berkata demikian?

DR. HASSAN: Saya berpendapat mulai tahun 1980-an sistem nilai Melayu berubah. Kita sudah tidak lagi mementingkan warisan kita. Orang Melayu meninggalkan semangat kebangsaan. Saya menggunakan istilah semangat kebangsaan kerana orang Melayu tidak bersikap perkauman.
Semangat ini yang memberi tenaga kepada kita untuk menentang British atau Malayan Union mati selepas merdeka dan ia digantikan oleh apa yang disebut nilai baru iaitu nilai globalisasi atau globalisme.


Justeru segala dasar kita disesuaikan dengan kehendak globalisasi itu. Contohnya peraturan perdagangan bebas, saya tidak percaya ada perdagangan bebas kerana ia sebenarnya dikawal oleh Amerika Syarikat (AS) melalui Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Justeru orang Melayu mesti faham dan diberitahu bahawa globalisasi ini sudah bermula sejak 400 tahun dahulu di dunia Melayu iaitu ketika kedatangan bangsa Portugis menawan Melaka.
Selepas Portugis, dua lagi kuasa barat membawa proses globalisasi dalam bentuk penjajahan ke dunia Melayu tetapi bangsa Melayu sejak 1511 kekal identitinya sampai sekarang.


Ini termasuklah dalam soal institusi raja-raja dan bahasa Melayu yang terkenal di seluruh dunia dan diketahui lebih 280 juta manusia. Inilah bahasa yang membentuk tamadun di rantau ini. Orang menghasilkan karya besar dalam bahasa Melayu. Ia termasuklah dalam menulis sejarah Aceh dan sebagainya. Begitu juga Islam dikembangkan dalam bahasa Melayu. Malah bahasa Melayu juga digunakan dalam mengembangkan agama lain seperti menterjemahkan kitab Injil.


Jadi saya hendak menyatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa berpengaruh dan dominan di kawasan ini. Ia sudah banyak mencipta ilmu justeru kenapa sekarang kita membiarkan orang lain atau keadaan memusnahkan, bahasa ini? Kalau bahasa kita dimusnahkan bangsa itu akan turut termusnah, pemikiran dan ilmu mereka akan termusnah. Akhirnya ia menjadi seperti bangsa penduduk asli di AS yang terpaksa mengikut bahasa Inggeris. Bagi saya, kalau ada kaum yang cuba hendak menggantikan atau membantah tulisan Jawi pada papan-papan tanda jalan kita mesti mencegah dan membantah secara tegas kerana ia akan memusnahkan budaya kita yang sudah bertapak sejak 700 tahun lalu. Apa salahnya tulisan Jawi? Kenapa pula kita tidak pernah membantah tulisan Cina dan Tamil?

Dalam soal ini sejauh manakah kuasa politik Melayu boleh bertindak tegas?

DR. HASSAN: Ini bukan soal mempertahankan tetapi mesti tegas mengekal dan memelihara warisan ini. Namun kita tidak melakukan itu. Contohnya, Dasar Bahasa Kebangsaan kita semakin melemah. Kita menggantikan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, ini memusnahkan nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sedangkan selama 30 tahun bahasa Melayu digunakan dalam subjek berkenaan ia sudah terbukti mampu melahirkan banyak ahli sains dan perubatan serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang. Orang bukan Melayu pula tidak lagi mempersoalkan dasar ini kerana mereka tidak rugi dan tidak dipinggirkan. Tiba-tiba pemimpin Melayu memusnahkan dasar ini tanpa sebab munasabah. Ini contoh bagaimana bangsa Melayu memusnahkan budaya atau kelebihan atau kekuatan yang sudah ada kepada kita sejak berabad lalu.

Adakah ini berkaitan dengan nilai-nilai baru seperti globalisasi?

DR. HASSAN: Ya, kononnya dalam era globalisasi sempadan negara, sempadan kebangsaan tidak ada lagi. Semua itu hakikatnya adalah propaganda dan satu ideologi yang dikembangkan oleh kuasa besar misalnya AS. Mereka bercakap tentang perdagangan bebas tetapi persoalannya apakah di negara sendiri mereka mempunyai dasar menggalakkan pasaran bebas? Sebagai contoh, mereka memberitahu negara sedang membangun jangan mengawal ekonomi dan mesti membebaskan pasaran serta jangan beri subsidi kepada sektor pertanian umpamanya.

Tetapi hakikatnya, AS adalah negara terbesar memberi subsidi kepada sektor pertanian mereka, akibatnya produk mereka yang dieksport lebih murah harganya daripada yang dikeluarkan oleh negara-negara membangun. Apakah ini dinamakan pasaran bebas? Ini mereka lakukan dengan matlamat untuk menjajah ekonomi orang lain. Malangnya di Malaysia, kita pula percaya bahawa kalau hendak maju mesti menggunakan bahasa Inggeris. Semua ini adalah satu pemikiran atau dasar bangsa penjajahan. Saya percaya sama ada kita sedar atau tidak kebanyakan pemimpin Melayu sudah dijajah oleh sistem barat yang masih kekal dalam bentuk penjajahan baru. Inilah globalisasi.

Tetapi ancaman terhadap kedudukan atau kepentingan Melayu hanya berlaku selepas pilihan raya, dahulu ia tidak begitu ketara sangat?


DR. HASSAN: Oleh kerana kita sudah dilihat oleh orang lain sebagai satu bangsa yang sudah tidak mempunyai kekuatan politik maka mereka berani mempersoalkan hak-hak kebangsaan negara ini seperti institusi raja-raja, bahasa Melayu dan tulisan papan tanda dalam bahasa Melayu.

Saya beritahu rakan-rakan bukan Melayu, kalau pengumuman dibuat dalam bahasa Inggeris atau membuat papan tanda dalam bahasa Mandarin berapa orang yang tahu? Saya bukannya membenci bahasa Mandarin atau bahasa Tamil tetapi ini adalah hakikat. Kalau ditulis dalam bahasa Melayu saya fikir semua warga Malaysia memahaminya. Malah kita harus faham bahawa di kalangan masyarakat Tionghua sendiri ramai yang tidak tahu bahasa Mandarin. Oleh itu tidak ada sebab mana-mana pihak hendak mempertikaikan penggunaan bahasa Melayu di papan tanda sehingga mahu bahasa-bahasa lain juga digunakan? Apa tujuannya?

Bahasa-bahasa lain bukanlah bahasa kebangsaan negara ini. Dalam Perlembagaan sudah dinyatakan dengan jelas bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain boleh diajar di sekolah dan dipelihara. Kaum lain mesti faham bahawa selepas merdeka, sekolah Melayu tidak ada lagi yang ada hanyalah sekolah kebangsaan untuk semua kaum tetapi sekolah Cina dan sekolah Tamil kekal, orang Melayu tidak mahu mempersoalkan ini. Cuba pergi ke Singapura mana ada sekolah Cina atau sekolah Tamil milik bantuan kerajaan.

Kalau hendak ‘bergaduh’ kita banyak modal untuk menang tetapi pemimpin kita selalu bertolak ansur. Orang lain tidak bertolak ansur, itu sebabnya semakin lama semakin terhakis hak kita.

Apakah mungkin sikap tolak ansur ini menyebabkan orang lain semakin berani mempertikaikan hak Melayu?

DR.HASSAN: Saya yakin selepas ini semakin banyak perkara yang akan menyaksikan orang Melayu bertolak ansur. Mereka minta dapat, kita minta tak dapat, kalau kita diberi juga, kita akan dianggap perkauman. Apa juga yang kita tuntut akan dianggap perkauman tetapi kalau mereka yang minta tidak dianggap perkauman.

Bagaimana kita hendak mengatasi masalah ini?

DR. HASSAN: Pemimpin Melayu mesti tegas melaksanakan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. Kita harus ingat Perlembagaan digubal bukan untuk kepentingan Melayu semata-mata, tetapi juga kepentingan semua rakyat di negara ini. Tidak ada dasar Melayu dalam Perlembagaan. Institusi Raja contohnya adalah institusi kebangsaan. Dulu memanglah raja Melayu milik orang Melayu tetapi sekarang ia sudah menjadi institusi kebangsaan.
Justeru semua orang mesti bersikap nasionalis tanpa mengira apa juga keturunan mereka. Asalkan dia warga negara Malaysia, dia mesti bersikap nasionalis bererti dia mempertahankan Perlembagaan. Ia kerana Perlembagaan negara ini bukanlah Perlembagaan bangsa Melayu tetapi Perlembagaan Malaysia yang digubal selepas berunding dengan semua kaum.

Bagaimana pemimpin Melayu hendak bertegas kalau mereka sendiri berpecah belah?

DR. HASSAN: Mereka berpecah kerana ada kepentingan masing-masing. Mereka tidak ada lagi kepentingan bangsa, semua itu sudah ditinggalkan. Jadi agenda Melayu sudah tidak ada, kalau ada pun ia sekadar dalam angan-angan sahaja atau niat tetapi tidak ada tindakan untuk melaksanakan atau mempertahankan agenda Melayu. Bagi saya, apabila disebut agenda Melayu ia bermaksud ada agenda kebangsaan.

Contohnya, bahasa kebangsaan ia bukannya agenda Melayu tetapi dasar kebangsaan. Ia wujud selepas merdeka kerana sebelum merdeka apa yang ada hanya dasar perkauman. Begitu juga Dasar Ekonomi Baru (DEB) ia bukan dasar Melayu tetapi dasar kebangsaan, golongan yang paling banyak untung selepas 20 tahun dasar itu dilaksanakan bukannya orang Melayu. Kalau beberapa orang Melayu kaya raya itu soal lain.

Saya melihat ekonomi Melayu sebagai satu bentuk piramid yang paling kuat ialah asasnya tetapi sekarang ini yang dibina puncak, asasnya lemah. Akhirnya dalam semua bidang kita hanya menjadi bangsa peniru dan bangsa pengimport. Saya percaya kekuatan sesuatu bangsa mesti berdasarkan identitinya sendiri termasuklah dari segi bahasa, budaya dan agamanya. Mereka mesti membina dasar kebangsaan yang kuat barulah kita boleh bersaing dengan orang luar. Tetapi sekarang kita sudah rapuh, sudah tidak kuat, segala macam pengaruh daripada luar mudah masuk ke negara ini.

Penggunaan bahasa Inggeris contohnya, ada di kalangan pemimpin Melayu sendiri memberitahu orang Melayu kalau hendak maju kamu mesti menggunakan bahasa Inggeris. Kita tidak menentang bahasa Inggeris. Hari ini hampir semua yang dikatakan pejuang bahasa Melayu terdiri daripada mereka yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik, tetapi mereka tidak boleh dianggap fanatik atau ekstremis apabila memperjuangkan bahasa Melayu, mereka mempertahankan hak dan warisan seperti juga orang Inggeris mempertahankan bahasa Inggeris.

Persoalannya kalau kita tengok orang politik seolah-olah tidak bimbang dengan ancaman di hadapan mereka?

DR. HASSAN: Kalau mereka hendak menyelamatkan negara ini amnya dan bangsa Melayu khususnya mereka mestilah memastikan bahasa Melayu dipertahankan sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara ini. Ia kerana hampir semua rakyat Malaysia yang terdidik mengetahui bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Pemimpin MCA dan DAP misalnya mereka begitu bagus apabila bercakap bahasa Melayu. Mereka tidaklah mempersoalkan lagi bahasa Melayu kerana ia tidak merugikan mereka, tetapi orang Melayu bila bercakap dia campur aduk dengan bahasa Inggeris. Apakah orang seumpama ini harus dipilih sebagai pemimpin Melayu?

Jadi kalau orang Melayu memilih pemimpin seumpama itu maka mereka inilah yang akan menjatuhkan bangsa Melayu. Sebab itulah saya berharap dalam pemilihan UMNO yang bakal berlangsung, mereka akan memilih pemimpin Melayu yang benar-benar jujur dan akan mempertahankan dasar-dasar kebangsaan untuk kepentingan rakyat serta negara ini bukan untuk orang Melayu sahaja. Kalau kita mempertahankan bahasa Melayu bukan kita mempertahankan hak orang Melayu tetapi mempertahankan institusi negara demi kepentingan semua kaum tetapi sekarang kita membiarkan orang lain mempersoalkan perkara ini.

Bagi saya usaha hendak menghapuskan tulisan Jawi di papan tanda adalah remeh-temeh. Mereka yang berbuat demikian adalah bersikap perkauman dan tidak bijak kerana negara mempunyai masalah yang lebih besar. Justeru saya fikir orang Melayu hendaklah bijak memilih pemimpin dalam parti apa pun. Orang Melayu harus diberi pemahaman bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa berpengaruh di rantau ini yang membentuk tamadun dan kesatuan ummah bukannya bahasa lain.

Orang Melayu mesti sedar perkara ini, kalau mereka membiarkan bahasa Melayu musnah, perjuangan mereka juga berakhir sebab bahasa bukannya sistem linguistiknya sahaja tetapi yang paling penting ia adalah alat membentuk pemikiran dan budaya bangsa itu. Kalau orang Melayu sudah tidak pandai lagi berfikir dalam bahasa Melayu, mereka akan jadi bangsa kacukan dalam berfikir.

Kaum lain bersatu kalau ada isu yang melibatkan kepentingan mereka tetapi orang Melayu tidak dapat berbuat demikian, apa pandangan Datuk?

DR. HASSAN: Ini berlaku kerana orang Melayu mudah bertolak ansur apabila ditegur ketika hendak memperjuangkan hak mereka. Saya setuju kaum lain bersatu melalui kebudayaan, bahasa dan pendidikan. Mereka berpegang teguh kepada perkara ini.

Hakikatnya orang Melayu sudah mempunyai kelebihan luar biasa berbanding bangsa lain. Selain bahasa, orang Melayu juga mempunyai agama Islam – satu agama yang mampu menyatukan seluruh ummah. Justeru orang Melayu perlu memahami dan menyedari betapa hebatnya nenek moyang mereka menghadapi segala cabaran yang datang dari luar tetapi berjaya mengekalkan identitinya seperti bangsa, bahasa, budaya dan institusi raja-raja.

(Artikel ini telah tersiar di Mingguan Malaysia - 02/11/2008)

4 ulasan:

D'Rimba berkata...

teruskan perjuangan paling kental semua kembalikan bahasa melayu seluruh peringkat pendidikan negara tadika hingga ipta/ipts tanpa alasan. kentalkan perjuangan. jangan lupa sebarkan video hebat ini. saya sedia berkhidmat membantu kembalikan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan negara semua peringkat. saya terlalu bosan terpaksa berpura faham belajar dalam bahasa Inggeris, nak faham bahasa satu hal, konsep ilmu satu hal, kalau macam ni alamatla kita jadi rakyat berjaya dari segi teorije semata tidak menuju ke arah penciptaan. saya amat2 berbesar hati jika dapat membantu.

D'Rimba berkata...

Terima kasih pejuang bahasa sekalian atas kemenangan bermakna

Renegade berkata...

Datuk Hassan kenapa anda menolak PPSMI? x sayangkan anak bangsa Melayu? Dulu kini dan sekarang, senang-senang DBP memelayukan perkataan Inggeris ke dalam bahasa Melayu.Ini menunjukkan DBP itu sendiri sudah kering idea untuk memperkayakan tatabahasa Melayu dan menunjukkan yang banyak ilmu dicatatkan dalam bahasa Inggeris.Kalau anak-anak tidak tahu bahasa Inggeris macam mane hendak mencungkil ilmu bangsa Eropah yang tidak terkira banyaknye? Mungkin ada sesetengah buku telah dibuat penterjamahan tapi itu terlalu sedikit dan tatabahasa dicampuradukkan dengan bahasa Inggeris...

Mima berkata...

ya datuk, saya memang sedih melihat situasi semasa. kalau dulu kita kata gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah... tapi dalam kes hari ini, gajah sama gajah bergaduh, pelanduk duduk tepi bertepuk tangan dan mengambil kesempatan....