PENAFIAN

Sebarang maklumat, artikel, pandangan atau bahan penulisan yang tertera dalam blog ini yang bukan ditulis atau disediakan oleh pemilik blog adalah menjadi tanggungjawab atau liabiliti sepenuhnya penyumbang atau penghantar bahan berkenaan dan pemilik blog menafikan sebarang tanggungjawab atau liabiliti ke atas bahan itu.

Jumaat, November 14, 2008

AKIBAT BERTOLAK ANSUR

Kelantangan beberapa pihak daripada kalangan kelompok bukan Melayu termasuk parti-parti politik dalam soal berkaitan hak dan kedudukan orang Melayu mula menimbulkan banyak polemik. Malah selain tuntutan agar ekuiti 30 peratus kepada bumiputera dihapuskan tulisan Jawi yang dipamerkan di papan-papan tanda juga turut diancam. Keadaan ini sudah tentulah menimbulkan keresahan di kalangan pelbagai pihak terutamanya orang Melayu.

Mereka mempertikaikan kenapakah kelantangan seumpama itu semakin kerap didengari biarpun sesetengah perkara yang dibangkitkan itu sudah termaktub dalam Perlembagaan dan tidak sewajarnya diganggu-gugat. Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Hassan Ahmad merumuskan bahawa segala-galanya berlaku kerana sikap orang Melayu yang suka bertolak-ansur serta kedudukan politik Melayu kini yang dilihat semakin melemah.

‘‘Kesudahannya orang lain mengambil kesempatan di atas sikap kita itu sedangkan mereka sendiri tidak mahu bertolak ansur terhadap hak dan kepentingan mereka,’’ katanya yang juga Ketua Pegawai Yayasan Karyawan Malaysia. Oleh itu Dr. Hassan berharap pemimpin-pemimpin Melayu bertegas dalam soal yang menyentuh perkara-perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. Pada pandangan beliau, ketegasan yang hendak ditunjukkan bukanlah bererti orang Melayu bersikap perkauman tetapi mempertahankan dasar kebangsaan yang digubal dalam Perlembagaan melalui persetujuan semua kaum. Walaupun tidak terlibat dalam politik dan bukan ahli UMNO, Dr.Hassan juga turut melontar sedikit nasihat kepada ahli parti itu berhubung pemimpin seperti manakah yang mereka perlu bagi memastikan hak dan kepentingan Melayu mampu terus diperjuangkan.

MINGGUAN: Bagaimanakah Datuk melihat tindakan sesetengah pihak yang semakin kerap menggugat kepentingan Melayu?

DR. HASSAN: Bangsa Melayu sejak 700 tahun dahulu telah meninggalkan satu pusaka atau warisan yang luar biasa. Saya berani mengatakan bahawa jarang ada bangsa-bangsa lain di dunia yang mempunyai begitu banyak kelebihan seperti bangsa Melayu. Pertama, satu kelebihan yang ada kepada bangsa Melayu sejak abad ke-12 ialah bahasa Melayu. Bahasa itu mampu berkembang sebagai bahasa merentas semua sempadan. Ia menjadi bahasa persuratan lingua franca bukan sahaja dalam soal perdagangan tetapi juga politik. Itulah kelebihan Melayu yang berjaya mengembangkan bahasanya bukan melalui penjajahan seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan beberapa bahasa penjajah yang lain. Kelebihan kedua ialah agama Islam yang menjadi agama sejagat dan mampu merentas sempadan serta membentuk satu tamadun ummah yang besar. Jadi warisan ini ditinggalkan kepada kita sampai ke hari ini. Tetapi persoalannya kenapa kita biarkan kaum- kaum lain yang datang dari luar budaya dan sosial Melayu seperti dari China, India dan Arab mencabar warisan ini? Oleh itu saya berpendapat cabaran yang kita hadapi hari ini bukanlah cabaran daripada orang luar tetapi daripada bangsa Melayu sendiri.

Kenapa Datuk berkata demikian?

DR. HASSAN: Saya berpendapat mulai tahun 1980-an sistem nilai Melayu berubah. Kita sudah tidak lagi mementingkan warisan kita. Orang Melayu meninggalkan semangat kebangsaan. Saya menggunakan istilah semangat kebangsaan kerana orang Melayu tidak bersikap perkauman.
Semangat ini yang memberi tenaga kepada kita untuk menentang British atau Malayan Union mati selepas merdeka dan ia digantikan oleh apa yang disebut nilai baru iaitu nilai globalisasi atau globalisme.


Justeru segala dasar kita disesuaikan dengan kehendak globalisasi itu. Contohnya peraturan perdagangan bebas, saya tidak percaya ada perdagangan bebas kerana ia sebenarnya dikawal oleh Amerika Syarikat (AS) melalui Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Justeru orang Melayu mesti faham dan diberitahu bahawa globalisasi ini sudah bermula sejak 400 tahun dahulu di dunia Melayu iaitu ketika kedatangan bangsa Portugis menawan Melaka.
Selepas Portugis, dua lagi kuasa barat membawa proses globalisasi dalam bentuk penjajahan ke dunia Melayu tetapi bangsa Melayu sejak 1511 kekal identitinya sampai sekarang.


Ini termasuklah dalam soal institusi raja-raja dan bahasa Melayu yang terkenal di seluruh dunia dan diketahui lebih 280 juta manusia. Inilah bahasa yang membentuk tamadun di rantau ini. Orang menghasilkan karya besar dalam bahasa Melayu. Ia termasuklah dalam menulis sejarah Aceh dan sebagainya. Begitu juga Islam dikembangkan dalam bahasa Melayu. Malah bahasa Melayu juga digunakan dalam mengembangkan agama lain seperti menterjemahkan kitab Injil.


Jadi saya hendak menyatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa berpengaruh dan dominan di kawasan ini. Ia sudah banyak mencipta ilmu justeru kenapa sekarang kita membiarkan orang lain atau keadaan memusnahkan, bahasa ini? Kalau bahasa kita dimusnahkan bangsa itu akan turut termusnah, pemikiran dan ilmu mereka akan termusnah. Akhirnya ia menjadi seperti bangsa penduduk asli di AS yang terpaksa mengikut bahasa Inggeris. Bagi saya, kalau ada kaum yang cuba hendak menggantikan atau membantah tulisan Jawi pada papan-papan tanda jalan kita mesti mencegah dan membantah secara tegas kerana ia akan memusnahkan budaya kita yang sudah bertapak sejak 700 tahun lalu. Apa salahnya tulisan Jawi? Kenapa pula kita tidak pernah membantah tulisan Cina dan Tamil?

Dalam soal ini sejauh manakah kuasa politik Melayu boleh bertindak tegas?

DR. HASSAN: Ini bukan soal mempertahankan tetapi mesti tegas mengekal dan memelihara warisan ini. Namun kita tidak melakukan itu. Contohnya, Dasar Bahasa Kebangsaan kita semakin melemah. Kita menggantikan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, ini memusnahkan nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sedangkan selama 30 tahun bahasa Melayu digunakan dalam subjek berkenaan ia sudah terbukti mampu melahirkan banyak ahli sains dan perubatan serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang. Orang bukan Melayu pula tidak lagi mempersoalkan dasar ini kerana mereka tidak rugi dan tidak dipinggirkan. Tiba-tiba pemimpin Melayu memusnahkan dasar ini tanpa sebab munasabah. Ini contoh bagaimana bangsa Melayu memusnahkan budaya atau kelebihan atau kekuatan yang sudah ada kepada kita sejak berabad lalu.

Adakah ini berkaitan dengan nilai-nilai baru seperti globalisasi?

DR. HASSAN: Ya, kononnya dalam era globalisasi sempadan negara, sempadan kebangsaan tidak ada lagi. Semua itu hakikatnya adalah propaganda dan satu ideologi yang dikembangkan oleh kuasa besar misalnya AS. Mereka bercakap tentang perdagangan bebas tetapi persoalannya apakah di negara sendiri mereka mempunyai dasar menggalakkan pasaran bebas? Sebagai contoh, mereka memberitahu negara sedang membangun jangan mengawal ekonomi dan mesti membebaskan pasaran serta jangan beri subsidi kepada sektor pertanian umpamanya.

Tetapi hakikatnya, AS adalah negara terbesar memberi subsidi kepada sektor pertanian mereka, akibatnya produk mereka yang dieksport lebih murah harganya daripada yang dikeluarkan oleh negara-negara membangun. Apakah ini dinamakan pasaran bebas? Ini mereka lakukan dengan matlamat untuk menjajah ekonomi orang lain. Malangnya di Malaysia, kita pula percaya bahawa kalau hendak maju mesti menggunakan bahasa Inggeris. Semua ini adalah satu pemikiran atau dasar bangsa penjajahan. Saya percaya sama ada kita sedar atau tidak kebanyakan pemimpin Melayu sudah dijajah oleh sistem barat yang masih kekal dalam bentuk penjajahan baru. Inilah globalisasi.

Tetapi ancaman terhadap kedudukan atau kepentingan Melayu hanya berlaku selepas pilihan raya, dahulu ia tidak begitu ketara sangat?


DR. HASSAN: Oleh kerana kita sudah dilihat oleh orang lain sebagai satu bangsa yang sudah tidak mempunyai kekuatan politik maka mereka berani mempersoalkan hak-hak kebangsaan negara ini seperti institusi raja-raja, bahasa Melayu dan tulisan papan tanda dalam bahasa Melayu.

Saya beritahu rakan-rakan bukan Melayu, kalau pengumuman dibuat dalam bahasa Inggeris atau membuat papan tanda dalam bahasa Mandarin berapa orang yang tahu? Saya bukannya membenci bahasa Mandarin atau bahasa Tamil tetapi ini adalah hakikat. Kalau ditulis dalam bahasa Melayu saya fikir semua warga Malaysia memahaminya. Malah kita harus faham bahawa di kalangan masyarakat Tionghua sendiri ramai yang tidak tahu bahasa Mandarin. Oleh itu tidak ada sebab mana-mana pihak hendak mempertikaikan penggunaan bahasa Melayu di papan tanda sehingga mahu bahasa-bahasa lain juga digunakan? Apa tujuannya?

Bahasa-bahasa lain bukanlah bahasa kebangsaan negara ini. Dalam Perlembagaan sudah dinyatakan dengan jelas bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain boleh diajar di sekolah dan dipelihara. Kaum lain mesti faham bahawa selepas merdeka, sekolah Melayu tidak ada lagi yang ada hanyalah sekolah kebangsaan untuk semua kaum tetapi sekolah Cina dan sekolah Tamil kekal, orang Melayu tidak mahu mempersoalkan ini. Cuba pergi ke Singapura mana ada sekolah Cina atau sekolah Tamil milik bantuan kerajaan.

Kalau hendak ‘bergaduh’ kita banyak modal untuk menang tetapi pemimpin kita selalu bertolak ansur. Orang lain tidak bertolak ansur, itu sebabnya semakin lama semakin terhakis hak kita.

Apakah mungkin sikap tolak ansur ini menyebabkan orang lain semakin berani mempertikaikan hak Melayu?

DR.HASSAN: Saya yakin selepas ini semakin banyak perkara yang akan menyaksikan orang Melayu bertolak ansur. Mereka minta dapat, kita minta tak dapat, kalau kita diberi juga, kita akan dianggap perkauman. Apa juga yang kita tuntut akan dianggap perkauman tetapi kalau mereka yang minta tidak dianggap perkauman.

Bagaimana kita hendak mengatasi masalah ini?

DR. HASSAN: Pemimpin Melayu mesti tegas melaksanakan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. Kita harus ingat Perlembagaan digubal bukan untuk kepentingan Melayu semata-mata, tetapi juga kepentingan semua rakyat di negara ini. Tidak ada dasar Melayu dalam Perlembagaan. Institusi Raja contohnya adalah institusi kebangsaan. Dulu memanglah raja Melayu milik orang Melayu tetapi sekarang ia sudah menjadi institusi kebangsaan.
Justeru semua orang mesti bersikap nasionalis tanpa mengira apa juga keturunan mereka. Asalkan dia warga negara Malaysia, dia mesti bersikap nasionalis bererti dia mempertahankan Perlembagaan. Ia kerana Perlembagaan negara ini bukanlah Perlembagaan bangsa Melayu tetapi Perlembagaan Malaysia yang digubal selepas berunding dengan semua kaum.

Bagaimana pemimpin Melayu hendak bertegas kalau mereka sendiri berpecah belah?

DR. HASSAN: Mereka berpecah kerana ada kepentingan masing-masing. Mereka tidak ada lagi kepentingan bangsa, semua itu sudah ditinggalkan. Jadi agenda Melayu sudah tidak ada, kalau ada pun ia sekadar dalam angan-angan sahaja atau niat tetapi tidak ada tindakan untuk melaksanakan atau mempertahankan agenda Melayu. Bagi saya, apabila disebut agenda Melayu ia bermaksud ada agenda kebangsaan.

Contohnya, bahasa kebangsaan ia bukannya agenda Melayu tetapi dasar kebangsaan. Ia wujud selepas merdeka kerana sebelum merdeka apa yang ada hanya dasar perkauman. Begitu juga Dasar Ekonomi Baru (DEB) ia bukan dasar Melayu tetapi dasar kebangsaan, golongan yang paling banyak untung selepas 20 tahun dasar itu dilaksanakan bukannya orang Melayu. Kalau beberapa orang Melayu kaya raya itu soal lain.

Saya melihat ekonomi Melayu sebagai satu bentuk piramid yang paling kuat ialah asasnya tetapi sekarang ini yang dibina puncak, asasnya lemah. Akhirnya dalam semua bidang kita hanya menjadi bangsa peniru dan bangsa pengimport. Saya percaya kekuatan sesuatu bangsa mesti berdasarkan identitinya sendiri termasuklah dari segi bahasa, budaya dan agamanya. Mereka mesti membina dasar kebangsaan yang kuat barulah kita boleh bersaing dengan orang luar. Tetapi sekarang kita sudah rapuh, sudah tidak kuat, segala macam pengaruh daripada luar mudah masuk ke negara ini.

Penggunaan bahasa Inggeris contohnya, ada di kalangan pemimpin Melayu sendiri memberitahu orang Melayu kalau hendak maju kamu mesti menggunakan bahasa Inggeris. Kita tidak menentang bahasa Inggeris. Hari ini hampir semua yang dikatakan pejuang bahasa Melayu terdiri daripada mereka yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik, tetapi mereka tidak boleh dianggap fanatik atau ekstremis apabila memperjuangkan bahasa Melayu, mereka mempertahankan hak dan warisan seperti juga orang Inggeris mempertahankan bahasa Inggeris.

Persoalannya kalau kita tengok orang politik seolah-olah tidak bimbang dengan ancaman di hadapan mereka?

DR. HASSAN: Kalau mereka hendak menyelamatkan negara ini amnya dan bangsa Melayu khususnya mereka mestilah memastikan bahasa Melayu dipertahankan sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara ini. Ia kerana hampir semua rakyat Malaysia yang terdidik mengetahui bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Pemimpin MCA dan DAP misalnya mereka begitu bagus apabila bercakap bahasa Melayu. Mereka tidaklah mempersoalkan lagi bahasa Melayu kerana ia tidak merugikan mereka, tetapi orang Melayu bila bercakap dia campur aduk dengan bahasa Inggeris. Apakah orang seumpama ini harus dipilih sebagai pemimpin Melayu?

Jadi kalau orang Melayu memilih pemimpin seumpama itu maka mereka inilah yang akan menjatuhkan bangsa Melayu. Sebab itulah saya berharap dalam pemilihan UMNO yang bakal berlangsung, mereka akan memilih pemimpin Melayu yang benar-benar jujur dan akan mempertahankan dasar-dasar kebangsaan untuk kepentingan rakyat serta negara ini bukan untuk orang Melayu sahaja. Kalau kita mempertahankan bahasa Melayu bukan kita mempertahankan hak orang Melayu tetapi mempertahankan institusi negara demi kepentingan semua kaum tetapi sekarang kita membiarkan orang lain mempersoalkan perkara ini.

Bagi saya usaha hendak menghapuskan tulisan Jawi di papan tanda adalah remeh-temeh. Mereka yang berbuat demikian adalah bersikap perkauman dan tidak bijak kerana negara mempunyai masalah yang lebih besar. Justeru saya fikir orang Melayu hendaklah bijak memilih pemimpin dalam parti apa pun. Orang Melayu harus diberi pemahaman bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa berpengaruh di rantau ini yang membentuk tamadun dan kesatuan ummah bukannya bahasa lain.

Orang Melayu mesti sedar perkara ini, kalau mereka membiarkan bahasa Melayu musnah, perjuangan mereka juga berakhir sebab bahasa bukannya sistem linguistiknya sahaja tetapi yang paling penting ia adalah alat membentuk pemikiran dan budaya bangsa itu. Kalau orang Melayu sudah tidak pandai lagi berfikir dalam bahasa Melayu, mereka akan jadi bangsa kacukan dalam berfikir.

Kaum lain bersatu kalau ada isu yang melibatkan kepentingan mereka tetapi orang Melayu tidak dapat berbuat demikian, apa pandangan Datuk?

DR. HASSAN: Ini berlaku kerana orang Melayu mudah bertolak ansur apabila ditegur ketika hendak memperjuangkan hak mereka. Saya setuju kaum lain bersatu melalui kebudayaan, bahasa dan pendidikan. Mereka berpegang teguh kepada perkara ini.

Hakikatnya orang Melayu sudah mempunyai kelebihan luar biasa berbanding bangsa lain. Selain bahasa, orang Melayu juga mempunyai agama Islam – satu agama yang mampu menyatukan seluruh ummah. Justeru orang Melayu perlu memahami dan menyedari betapa hebatnya nenek moyang mereka menghadapi segala cabaran yang datang dari luar tetapi berjaya mengekalkan identitinya seperti bangsa, bahasa, budaya dan institusi raja-raja.

(Artikel ini telah tersiar di Mingguan Malaysia - 02/11/2008)

Selasa, September 30, 2008

SALAM AIDIL FITRI

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pengunjung blog ini. Moga akan sentiasa mendapat kerahmatan di bulan Syawal ini, InsyaAllah.

Isnin, September 15, 2008

MASA KEPADA BANGSA MAJU


Kalau kita hendak tahu sama ada seseorang atau sesuatu bangsa itu cekap atau maju, malas atau rajin, kita lihat pada setakat manakah mereka menghormati atau patuh kepada masa dan cekap menguruskan masa dalam kehidupan dan kegiatan mereka. Nilai masa bagi orang yang sibuk, rajin dan cekap disamakan dengan nilai emas. Mereka sentiasa mengejar masa. Masa tidak menunggu mereka. Bagi orang yang malas atau tidak cekap, masa dilihat sebagai angin yang lalu: Dipegang tak dapat, dibiarkan lepas. Mereka menganggap masa boleh menunggu mereka. Orang yang sibuk selalu berkata, mereka ada masa. Orang yang malas selalu berkata, mereka tidak ada masa.


Dalam Islam orang yang menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dianggap orang itu beriman dan beruntung. Dalam Surah Al-'Asar, Allah berfirman: Demi Masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati untuk menetapi kesabaran. Surah ini mengingatkan manusia bahawa jika mereka tidak menggunakan masa dengan sebaik-baiknya, mereka akan rugi.


Masa banyak terbuang atau dibazirkan melalui pelbagai kegiatan yang tidak produktif dan tidak cekap. Orang yang tidak cekap sering membazirkan masa, tetapi mereka tidak menyedarinya. Kerja yang dapat diselesaikan dalam masa satu jam diselesaikan dalam tempoh yang panjang, mungkin berjam-jam lamanya, boleh jadi juga sampai dua tiga hari baru siap. Itu pun belum tentu hasilnya bermutu. Di pejabat kerajaan, cuba kita kaji berapa banyakkah kerja produktif yang dilakukan berbanding kerja yang membazir, dan berapa banyak masa terbuang melalui kegiatan yang tidak produktif, yakni yang tidak menghasilkan apa-apa yang dapat dinilai dari segi sumbangannya kepada kecekapan dan keberkesanan prestasi organisasi itu kepada masyarakat atau dalam pasaran yang kompetitif. Orang selalu tidak dapat membezakan antara kerja dengan kegiatan. Kegiatan bukan kerja dalam erti katanya yang sebenarnya berdasarkan ilmu pengurusan. Kegiatan selalunya bersifat 'pesta-pestaan', hasilnya tidak dapat diberikan nilai yang konkrit.


Di Malaysia, kita perhatikan banyak masa terbuang menghadiri mesyuarat yang selalunya tidak perlu, atau menghadiri pelbagai seminar, persidangan dan upacara atau majlis yang tidak perlu atau yang diaturkan secara yang tidak cekap. Sebagai contoh, masa mesyuarat, baik mesyuarat rasmi kerajaan, lebih-lebih lagi mesyuarat tidak rasmi, tidak pernah atau jarang-jarang bermula atau dimulakan tepat pada waktunya. Biasanya mesyuarat dimulakan lewat, kadang-kadang sampai setengah jam lewatnya. Sebabnya ialah (a) Menunggu pengerusi yang belum masuk ke bilik mesyuarat tepat pada waktunya, atau (b) Kalau pengerusi sudah hadir pada waktu yang ditetapkan, mesyuarat terpaksa pula menunggu anggota mesyuarat yang belum datang untuk memulakan mesyuarat atau untuk mencukupkan kuorum.


Sebab orang lambat datang ke mesyuarat sudah menjadi perkara biasa: Kerana kesesakan lalu-lintas atau traffic jam, atau kerana sibuk dengan kerja lain di pejabat, atau kerana susah hendak mencari tempat letak kereta. Dan sebab-sebab ini sudah dianggap tidak dapat dielakkan, jadi tidak salahlah kalau orang tidak mematuhi waktu. Dan semasa menunggu mesyuarat bermula atau dimulakan, orang yang sudah hadir bersembang kosong, bergosip. Jarang-jarang kita mendengar cerita yang serius. Hal yang sama sering berlaku dalam majlis-majlis lain, misalnya majlis perjumpaan, seminar, persidangan dan sebagainya yang akan dirasmikan oleh menteri atau orang besar, atau VIP dan VVIP. Saya perhatikan dalam beberapa banyak majlis yang saya hadiri, majlis tidak pernah bermula tepat pada waktu yang dijadualkan dalam program atur cara atau pada kad undangan. Kadang-kadang majlis terpaksa menunggu menteri atau orang besar lain yang akan merasmikan majlis itu. Maka para hadirin yang sudah masuk ke dewan kenalah menunggu, kadang-kadang sampai setengah jam lamanya. Biasa juga, majlis tidak dapat dimulakan tepat pada waktunya kerana dewan belum penuh. Para undangan atau peserta majlis itu belum semuanya sudah menjelma, jadi menteri atau orang besar lain yang hendak merasmikan majlis itu, kalau dia datang awal, terpaksa diminta menunggu di bilik VIP, di luar dewan.


Sudahlah begitu, majlis dimulai dengan acara yang membazirkan masa, yang kebanyakannya tidak perlu. Misalnya, kalau majlis itu 'majlis Melayu', kedatangan pembesar disambut dengan kompang atau dengan kumpulan gadis Melayu berpakaian tradisional, menatang sirih junjung. Doa yang dibacakan atau dilafazkan selalunya panjang-panjang, ada kalanya sampai 5 atau 10 minit! Seolah-olah pembaca doa menyampaikan ucapan. Sampai lenguh kedua-dua tangan kita menadah ke atas untuk mengaminkan doa itu. Doa apa ini? Tuhan Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Membaca al-Fatihah sudah cukup kerana itu doa yang paling besar, paling meliputi segala hajat dan paling bernas.


Apabila majlis dimulakan sekurang-kurangnya dua atau tiga orang, termasuk pembesar yang akan merasmikan majlis, akan berucap. Selain memberi hormat kepada menteri atau perasmi majlis, pengerusi majlis (seminar, persidangan dll.) yang memulakan ucapan akan menyebut "Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri, Datuk Seri-Datuk Seri, Datin Seri-Datin Seri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian yang dihormati'', walaupun dalam majlis itu tidak ada Tan Sri dan tidak ada Datuk Seri. Yang melambak ialah "Datuk''. Tetapi semua gelaran itu mesti disebut, kata orang itu, kalau tidak orang yang mempunyai gelaran itu akan marah atau berasa mereka tidak dihormati.


Ucapan selalunya panjang-panjang, meleret-leret, dan tidak kurang membosankan. Seluruh majlis ucapan itu mengambil masa tidak kurang satu jam lamanya, kadang-kadang sampai dua atau tiga jam kalau dimasuk kira jamuan makan di akhir majlis. Satu pembaharuan yang digunakan untuk menambahkan kemeriahan majlis ialah penggunaan teknologi canggih. Biasanya istiadat atau tradisi Melayu digunakan, misalnya perasmi majlis diminta memukul gong tiga kali tanda majlis sudah dirasmikan. Tetapi teknologi sudah menggantikan adat/tradisi ini. Kuasa teknologi digunakan. Misalnya, dalam majlis pelancaran buku baru, mokap (mock-up) atau replika buku saiz gergasi akan didedahkan kepada para hadirin. Apabila perasmi majlis menarik reben atau tali tirai atau menekan butang komputer di atas pentas, kedengaran bunyi letupan dan kelihatan asap warna-warni menyelubungi pentas, dan terserlahlah gambar buku itu, dan perasmi majlis mencatatkan tanda tangannya di atas 'meja' atau rehal virtual. Maka gemuruhlah bunyi tepukan daripada para hadirin. (Catatan: Sama ada buku itu akan laris di pasaran, itu soal lain). Selepas itu, para hadirin dipersilakan menjamu selera, yakni semacam menikmati jamuan kenduri.


Di majlis perkahwinan "Melayu baru'' acaranya lebih meriah, lebih panjang dan lebih padat lagi. Majlis bermula tidak mengikut waktu sebagaimana tercatat dalam kad jemputan. Kadang-kadang para tetamu terpaksa menunggu sampai satu jam! Menunggu kedatangan pengantin masuk ke dewan. Ini bererti, tidak menghormati para undangan. Doanya lebih panjang lagi, jauh lebih panjang daripada doa yang dibacakan/dilafazkan oleh imam/kadi yang mengendalikan majlis ijab kabul sebelumnya, apatah lagi jikalau doa itu dibuat dalam tiga bahasa: Arab, Melayu dan terbaru, doa dalam bahasa Inggeris. Maka menjadi panjanglah doa itu. Kadang-kadang pembaca doa itu semacam memberi syarahan, bukan doa. Selepas itu bermula pula majlis merenjis. Kemudian baru makan.


Selepas jamuan makan sampai pula majlis memotong kek. Kedua-dua mempelai sudah bersalin pakaian, dari pakaian Melayu (pakaian tradisional) kepada pakaian Barat, pengantin lelaki berpakaian kot dan bertali leher, pengantin perempuan berpakaian gaun. Mereka masuk ke dewan, diarak atau didahului dan diikuti oleh gadis-gadis atau kanak-kanak yang mengiring mereka naik ke atas pentas untuk memotong kek. Ini majlis Melayu-Islam atau majlis apa?
Majlis kemudian diikuti dengan sesi ucapan. Ini termasuk ucapan menyampaikan maklumat tentang biodata si pengantin lelaki dan pengantin, tentang pendidikan dan pekerjaan mereka, cita-cita mereka, perangai mereka, tentang bagaimana dan di mana mereka berdua mula bertemu dan 'jatuh cinta', dan akhirnya bertunang dan diijabkabulkan. Perlu apa maklumat ini didedahkan kepada para tetamu?


Demikianlah kisah tentang bagaimana orang Melayu (atau orang Malaysia) tidak menghormati masa atau membuang masa dalam majlis atau dalam mesyuarat. Mesyuarat yang sepatutnya dapat diselesaikan dalam masa satu atau tidak lebih dua jam, akhirnya tamat selepas tiga jam. Perbincangan dalam mesyuarat tidak terfokus, banyak membuang masa, berbincang tentang hal-hal yang tidak penting, yang remeh-temeh. Majlis yang sepatutnya dapat diselesaikan dalam tempoh yang pendek, tetapi cekap dan berhasil, selalunya memakan masa berjam-jam lamanya kerana majlis dipenuhi dengan acara yang tidak penting. Ini tanda bangsa kita tidak cekap. Atau tidak pandai menguruskan masa dengan cekap. Selain ini mereka suka melalukan `perubahan' yang tidak berfaedah, misalnya dalam majlis perkahwinan, perubahan yang boleh merosakkan budaya sendiri.


Malangnya, soal pembaziran masa ini nampaknya tidak dianggap `salah', tetapi sudah diterima sebagai kebiasaan yang tidak dapat dibuat apa-apa lagi, seolah-olah itulah budaya bangsa kita. Di Indonesia, ada istilah, iaitu jam karet atau 'jam getah' yang boleh ditarik-tarik atau dipanjang-panjangkan, untuk menyatakan 'budaya masa' bangsa Indonesia. Di Malaysia, kita sudah kerap mendengar kata-kata 'Ah, jangan khuatir, kita tidak akan terlambat. Ini kan waktu Melayu!''


Kesesakan jalan atau 'jalan jam' sering dijadikan alasan untuk datang lambat ke majlis, ke mesyuarat atau ke pejabat. Kalau kita sudah tahu ini masalahnya, apakah usaha kita untuk mengatasinya? Kalau mesyuarat dijadualkan akan bermula pada pukul 10 pagi, mengapa kita tidak bertolak ke tempat mesyuarat awal-awal. Biar sampai ke tempat mesyuarat lebih awal. Semasa saya mempengerusikan mesyuarat, saya tidak akan menunggu orang yang datang lambat untuk memulakan mesyuarat. Kita kena menghormati orang yang datang awal daripada orang yang datang lewat.


Menurut pengalaman saya menghadiri mesyuarat dan majlis perasmian persidangan di negara yang dianggap 'sudah maju', misalnya Jepun dan Perancis atau Jerman, orang menghormati masa. Mesyuarat atau majlis perasmian dimulakan tepat atau hampir-hampir tepat pada waktu yang dijadualkan. Dan majlis perasmiannya cukup ringkas: Tidak ada ucapan yang meleret-leret, tidak ada mukadimah menghormati tetamu-tetamu "VIP'' (mungkin kerana di negara mereka tidak banyak orang yang bergelar seperti Tan Sri, Datuk Seri, Datuk dan "Tuan Haji''). Di Perancis, pengerusi majlis hanya akan menyebut nama presiden negara sahaja, kalau presiden itu hadir, atau menteri yang merasmikan majlis. Kemudian baru disebut madames et monsieurs (puan-puan dan tuan-tuan).


Suatu ketika dahulu, saya beberapa kali mempengerusikan mesyuarat di Tokyo. Mesyuarat dijadualkan bermula pada pukul 9 pagi. Hampir semua yang sudah masuk awal ke dewan mesyuarat datangnya dari negara-negara 'maju'. Tiga orang yang masuk lewat setelah mesyuarat dimulakan tepat pada pukul 9 datangnya dari Bangladesh, Iran dan Filipina. Pada waktu rehat saya bertanya wakil dari Bangladesh, mengapa dia selalu lewat. Jawapan yang diberikan ialah, dia bangun lewat dan pada pukul 8.40 pagi dia baru mandi. Wakil ini jugalah, dan tiga orang wakil lain dari Asia, yang terpaksa ditinggalkan oleh bas yang membawa para peserta ke tempat lain untuk melancong. Bas dijadualkan bertolak dari hotel pada pukul 6.30 pagi. Orang Jepun yang menjaga program ini gelisah. Semua wakil itu sedang mandi, atau baru bangun atau masih tidur. Saya memberitahu orang Jepun itu: Tinggalkan mereka! Bas bertolak pada pukul 7 pagi tanpa wakil-wakil yang tidak menghormati masa itu. Itulah tanda bangsa yang tidak maju!
(Artikel ini pernah tersiar di Utusan Malaysia pada 14 September 2003)

Selasa, September 09, 2008

CAUVINIS BAHASA MELAYU vs CAUVINIS BAHASA INGGERIS

SEORANG menteri Melayu telah membuat kenyataan yang mengelirukan terhadap nilai dan fungsi bahasa Melayu di negara ini dan terhadap orang yang cuba mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris, kenyataan menteri itu disiarkan secara besar-besaran di muka depannya dengan tajuk `Master English or the nation will lose out, Ignore language chauvinists'.

Saya katakan bahawa kenyataan ini mengelirukan atau boleh menimbulkan kekeliruan pada pandangan rakyat dan pelbagai pihak di negara ini terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara ini kerana dua sebab. Pertama, daripada kenyataan itu, kita diberikan gambaran seolah-olah negara akan kalah atau rugi atau `lose out' jikalau rakyat Malaysia, khususnya agaknya orang Melayu, tidak menguasai bahasa Inggeris, dan kedua, orang atau kumpulan yang cuba mempertahankan bahasa Melayu dianggap `cauvinis'. Kita ingin tahu bagaimanakah Malaysia akan rugi atau kalah - mungkin agaknya kalah dengan negara berbahasa Inggeris seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia, mungkin juga negara seperti Singapura - jikalau rakyatnya tidak menguasai bahasa asing ini, iaitu bahasa Inggeris. Kalah atau rugi dari segi apa? Kalah semata-mata kerana rakyat di negara ini tidak menguasai bahasa Inggeris?

Kita tahu bahawa banyak negara di dunia ini cukup maju dalam apa jua bidang, baik dalam bidang ilmu, bidang ekonomi dan teknologi, walaupun rakyat di negara tidak menggunakan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sebagai alat utamanya. Kita boleh menyebut banyak contohnya. Di Eropah, misalnya, bahasa Inggeris bukan bahasa utama untuk kemajuan bangsa Perancis, Jerman, Itali, dan lain-lain lagi. Di negara-negara Scandinavia - walaupun kecil, misalnya Norway dan Sweden - bahasa ilmu pengetahuan, bahasa sains dan bahasa teknologi mereka ialah bahasa mereka sendiri, bukan bahasa Inggeris. Di Asia, Jepun dan Korea, bahkan negara Thai, juga maju walaupun majoriti penduduk di negara itu tidak `menguasai' bahasa Inggeris. Tetapi Filipina yang boleh dikatakan merupakan negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia, adalah negara yang selalunya dianggap, `tidak maju' dalam bidang ekonomi dan teknologi.

Saya teringat seorang pembentang kertas kerja dalam suatu persidangan atau seminar yang diadakan di Kuala Lumpur tidak lama dahulu, berkata bahawa `produk' utama yang dieksport oleh Filipina, negara yang majoriti penduduknya berbahasa Inggeris atau boleh berbahasa Inggeris (termasuk khususnya golongan elit dan para pemimpin mereka) hanyalah `housemaids', yakni orang gaji, dan pekerja restoran di negara asing. Di Afrika, kita tahu beberapa banyak negara di kawasan itu tidak maju, malah daif dalam bidang apa pun, walaupun bahasa rasmi di negara itu ialah bahasa Inggeris atau bahasa Perancis. Ini bukan soal sama ada rakyat sesebuah negara itu menguasai atau tidak menguasai bahasa Inggeris, tetapi ialah soal, keupayaan sesuatu bangsa atau negara itu untuk memajukan diri mereka dan negara mereka dalam bahasa mereka sendiri.

Dan ini tentunya tidak bergantung pada bahasa sahaja tetapi juga pelbagai faktor lain, misalnya kebolehan dan kecekapan pihak yang mentadbirkan negara, budaya bangsa itu, kerajinan bangsa, sumber-sumber negara, dan peluang yang diberikan kepada penduduk negeri untuk maju dalam bahasa mereka sendiri. Di negara kita, kebanyakan usahawan ahli perniagaan dan tauke yang antara mereka ada yang menjadi bilionair, tidak menguasai bahasa Inggeris. Mereka lebih menguasai bahasa mereka sendiri (misalnya bahasa Cina), dan mengetahui bahasa Melayu.
Orang tidak menjadi `pakar bahasa Inggeris' atau `fasih berkomunikasi' dalam bahasa Inggeris seperti orang Inggeris sendiri. Apabila hanya segelintir sahaja penduduk di sesebuah negara `menguasai' bahasa asing yang digunakan untuk `memajukan negara' sedangkan majoriti rakyatnya tidak mengetahui bahasa itu, maka akan berlakulah jurang pemisahan budaya, sosial, pendidikan, ilmu dan kemajuan yang besar dan yang makin akan bertambah besar antara golongan yang menguasai bahasa asing dengan rakyat terbanyak yang tidak memahami bahasa asing itu.

Inilah keadaan yang berlaku di beberapa banyak negara di Afrika misalnya, bahkan keadaan ini boleh berlaku di negara seperti Malaysia apabila bahasa asing (bahasa Inggeris) disyaratkan sebagai bahasa kemajuan orang perseorangan. Akan berlaku keadaan yang oleh Robert Phillipson disebut `linguistic imperialism' atau `penjajahan bahasa'. Dalam bukunya `Linguistic Imperialism' (1992/2000), Phillipson mentakrifkan `imperalisme bahasa Inggeris' sebagai berikut: `English linguistic imperialism (means) the dominance of English is asserted and maintained by the establishment and (by) continuous reconstruction of structural and cultural inequalities between English and other languages' (hal.47).
Perkataan `structural', kata Phillipson, `refers broadly to material properties (for example, institutions, financial allocations)' dan perkataan `cultural' merujuk kepada `immaterial or ideological properties (for example, attitudes, pedagogic principles'). Phillipson seterusnya berkata, `The structural and cultural inequalities ensure the continued allocation of more material resources to English than to other languages and benefit those who are proficient in English' (hal. 47).

Jadi, sebagai contoh kalau ada syarat bahawa untuk memohon pekerjaan dalam sektor swasta di negara ini hendaklah fasih `berkomunikasi' dalam bahasa Inggeris, kalau tidak permohonannya akan ditolak, maka ini boleh dikatakan penjajahan bahasa. Calon itu boleh jadi berkelayakan tinggi dalam bahasa Melayu, tetapi kerana dia tidak petah atau tidak fasih bercakap dalam bahasa Inggeris maka dia ditolak dan menganggur.
Kalau orang Melayu disekat untuk memajukan dirinya dalam bidang apa pun semata-mata kerana mereka tidak menguasai bahasa Inggeris, ini bererti nasib mereka di tanah air sendiri sudah ditentukan oleh bahasa Inggeris itu. Inilah yang dikatakan penjajahan bahasa. Dan inilah keadaan yang berlaku semasa Tanah Melayu dijajah oleh British. Tetapi kita perhatikan, apabila bahasa Melayu dijadikan alat pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan selepas kemerdekaan, beratus-ratus ribu pelajar Melayu dan pelajar bukan Melayu berjaya memperoleh pendidikan sampai ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa Melayu, dan beribu-ribu orang Melayu (termasuk juga bukan Melayu) berjaya menjadi pakar dan profesor dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk bidang sains dan matematik, melalui bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya. Apakah sekarang, kemajuan ini hendak kita sekat dan kembali ke zaman `penjajahan bahasa Inggeris' dahulu?

Mengatakan bahawa orang atau persatuan yang cuba mempertahankan bahasa Melayu - bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa urusan rasmi kerajaan - sebagai `cauvinis;, ini tidak adil dan tidak munasabah sama sekali. Hal ini samalah dengan istilah dan ideologi Barat yang mengecap semua orang Islam yang secara tulen memperjuangkan hak dan kebebasan mereka daripada penjajahan Amerika dan Israel sebagai golongan `pengganas'. Tentu sahaja orang yang melakukan keganasan secara membuta-tuli, kejam dan tidak berperikemanusiaan, tanpa sebab, mereka bolehlah kita kecam sebagai `pengganas' - seperti pengganas komunis zaman darurat di Tanah Melayu dahulu, atau `pengganas Serb' di Yugoslavia, atau pengganas Israel atau Amerika yang mencerobohi kawasan orang lain.

Orang yang memperjuangkan bahasa Melayu bukan fanatik atau cauvinis bahasa, mereka tidak melanggar apa-apa undang-undang, mereka cuma mahu memastikan bahawa dasar bahasa di negara ini tidak digugat oleh golongan cauvinis bahasa Inggeris - yakni, golongan yang secara emosional dan tidak rasional percaya bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa segala-segalanya, bahasa kemajuan manusia, kemajuan orang Melayu, kemajuan kaum Cina, kaum India, kaum Iban dan kaum Kadazan di negara ini.

Orang yang `memperjuangkan bahasa Melayu bukan antibahasa Inggeris. Hal ini perlu diketahui oleh menteri berkenaan dan semua kaum di Malaysia. Hampir semua mereka yang `memperjuangkan' bahasa Melayu sangat fasih berbahasa Inggeris. Mereka menguasai bahasa Inggeris di peringkat tinggi, tidak bahasa Inggeris di peringkat rendah, yang tidak berguna untuk kemajuan mereka, kalau kegunaannya hanya untuk `berkomunikasi', untuk sekadar berbual-bual sesama bangsa sendiri di kedai kopi, di tempat kerja, di rumah dan sebagainya. Yang mereka tentang bukan bahasa Inggeris tetapi ialah kemungkinan atau bahaya bahasa itu menjadi `bahasa penjajah' di negeri sendiri, di dalam masyarakat, di kalangan rakyat yang majoritinya tidak menguasai bahasa ini di peringkat tinggi.

Jadi, kita hendaklah berhati-hati apabila membuat apa-apa kenyataan tentang kegunaan bahasa Inggeris dalam proses pembangunan negara, atau tentang nilai bahasa Melayu sebagai alat pembangunan bangsa kita sendiri, bukan bangsa yang berbahasa Inggeris di dunia lain. Bangsa Jepun maju bukan kerana bahasa Inggeris. Bangsa Perancis atau Jerman maju bukan kerana bahasa Inggeris, tetapi kerana mereka mencipta kemajuan dan kekayaan dalam bahasa mereka sendiri dan berdasarkan kepentingan budaya dan bangsa mereka. Tidak ada bangsa di dunia ini yang mencipta tamadunnya dengan menggunakan bahasa orang lain. Tidak ada! Sudah banyak kajian yang dilakukan oleh pakar budaya, dan terutama pakar psikologi kognitif, yang menunjukkan bahawa manusia akan lebih kreatif dalam pemikirannya apabila mereka berfikir dalam bahasanya sendiri.
Bangsa yang terlalu bergantung pada bahasa orang lain selalunya akan bergantung juga pada pemikiran orang lain, mereka lebih banyak menjadi bangsa peniru dan pengeksport `produk' orang lain, kerana apa? Kerana mereka tidak mampu lagi berfikir dalam bahasa sendiri untuk mencipta sesuatu yang original, yang dapat menandingi ilmu, produk, teknologi orang lain.

Selalu kita mendengar cauvinis bahasa Inggeris berkata bahawa bahasa Melayu terlalu bergantung pada bahasa Inggeris untuk meminjam istilah ilmu, istilah sains dan istilah teknologi, dan orang yang hanya berbahasa Melayu tidak akan dapat `berfikir tinggi' kalau mereka tidak mengetahui bahasa Inggeris. Ini pandangan orang yang tidak memahami hubungan antara bahasa dengan pemikiran atau antara budaya dengan bahasa. Kita tahu, berdasarkan sejarah perkembangan sesuatu bahasa, bahawa bahasa maju menurut kemajuan bangsa yang menggunakan bahasa itu.

Jikalau bangsa Melayu maju maka bahasanya pasti secara logiknya akan turut maju, dengan syarat, mereka menggunakan bahasa itu sebagai alat kemajuannya. Dan salah satu tanda yang menunjukkan bangsa itu maju ialah, kemampuannya memindahkan ilmu yang dipelajari daripada tamadun ke dalam bahasa mereka sendiri. Dengan demikian, mereka dapat terus berfikir dalam bahasanya sendiri untuk mengembangkan ilmu yang diperolehnya itu dan seterusnya mencipta yang baru melalui bahasanya sendiri.

Demikianlah sejarah yang berlaku pada bahasa Inggeris, misalnya. Kalau bahasa Inggeris tidak meminjam kata-kata dan istilah daripada bahasa Latin dan Greek sejak abad ke-15 lagi, bahasa Inggeris tidak akan menjadi bahasa ilmu dan sains pada hari ini. Bahasa itu meminjam banyak sekali istilah dari bahasa Latin dan Greek kerana adanya orang Inggeris, seperti Francis Bacon dan Isaac Newton yang dapat berfikir dan mengembangkan ilmu dalam bahasa Inggeris - bahasa Inggeris Anglo-Saxon. Hari ini tidak ada satu pun ayat bahasa sains dan ilmu dalam bahasa Inggeris yang tidak mengandungi dua atau lebih perkataan yang asalnya dipinjam dari bahasa Latin dan bahasa Greek.

Demikian juga halnya dengan perkembangan bahasa Melayu sejak berabad lamanya. Walaupun orang Melayu mempelajari ilmu Islam daripada orang Arab (yang berbahasa Arab) sejak sekurang-kurangnya abad ke-13 lagi, golongan utama Melayu dan pengarang Melayu menulis tentang pelbagai ilmu dan ajaran Islam dalam bahasa Melayu, tidak dalam bahasa Arab. Maksudnya, mereka mampu berfikir tentang ilmu baru itu dan menyebarkannya dalam bahasa Melayu sendiri. Begitulah halnya pada hari ini. Kita meminjam banyak istilah sains dari bahasa Inggeris (yang asalnya dari bahasa Latin dan Greek), tetapi kita berfikir dalam bahasa kita, tidak dalam bahasa Inggeris, kerana istilah baru itu harus diungkapkan dalam sistem bahasa Melayu, tidak dalam sistem bahasa Inggeris.

Jadi, kalau pada hari ini, ada orang yang berkata, bahawa orang Melayu hendaklah menjadi bangsa yang maju, barulah bahasa Melayu akan maju, maka hendaklah dipastikan bahawa bangsa Melayu itu maju dalam bahasanya sendiri, tidak dalam bahasa lain. Bagaimana bahasa Melayu hendak menjadi bahasa sains dan bahasa matematik, misalnya, jikalau orang Melayu disekat mempelajari dan mengembangkan ilmu itu dalam bahasanya sendiri? Bahasa Latin dan bahasa Sanskrit tidak maju lagi sebagai bahasa ilmu kerana tidak ada orang yang menggunakannya sebagai bahasa ilmu pada hari ini.

Walhasil, seperti yang selalu ditegaskan oleh orang yang memahami soal hubungan antara bahasa dan pemikiran atau hubungan antara bahasa dengan budaya bangsa itu, ada bahasa adalah bangsa. Pupus bahasa pupuslah bangsa. Tetapi ini tidak bererti bahawa orang Melayu tidak usah mempelajari bahasa Inggeris, atau bahasa lain apa pun. Tiada siapa yang membenci bahasa Inggeris. Tetapi salahkah kita kalau kita berkata bahawa kalau kita menguasai bahasa Inggeris, kita tidak akan maju. Malaysia akan kalah dengan negara lain.

Seingat saya, tidak ada atau jarang-jarang saya mendengar para pemimpin di negara seperti Jepun atau Perancis yang seolah-olah melancarkan semacam kempen menyeru rakyat di negara mereka supaya menguasai bahasa Inggeris untuk menjadi `bangsa yang maju'. Yang saya tahu ialah, bahasa Inggeris diajarkan juga di sekolah mereka, tetapi tujuannya bukan untuk menggantikan bahasa sendiri sebagai bahasa utama untuk rakyat mereka, sebagai bahasa kemajuan bangsa mereka, mereka mempelajari bahasa asing itu sebagai `bahasa kedua' atau `sebagai bahasa asing', dengan tujuan tertentu atau tujuan khusus atau `for special purposes', tidak dengan tujuan untuk menandingi bahasa mereka dalam negeri dan masyarakat sendiri. Kita janganlah menjadi cauvinis bahasa Inggeris!
(Artikel ini pernah tersiar dalam Utusan Malaysia - 14 Ogos 2004)

Rabu, Jun 25, 2008

POLITIK 'BELI BELAH'

Kalau benarlah ada orang atau pihak atau parti politik tertentu yang cuba 'membeli' ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) supaya melompat ke parti Pakatan Rakyat (PR) agar dengan demikian akhirnya PR dapat menumbangkan BN dalam Parlimen dan membentuk kerajaan yang menggantikan kerajaan BN, saya kira ini budaya politik wang yang sangat berbahaya kepada sistem demokrasi di negara ini.
Menurut cerita Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, dia pernah ditawar wang yang sangat besar 'hingga cukup untuknya hidup senang-lenang sehingga tiga generasi' (berita muka depan dalam Utusan Malaysia, 15 Mei 2008), untuk memikat supaya dia melompat ke parti pembangkang.
Saya percaya cerita ini benar, kalau tidak masakan Yang Berhormat Ahli Parlimen itu sanggup mendedahkannya kepada khalayak ramai melalui media.
Saya katakan ini budaya politik merentas parti (bukan dalam parti sahaja) yang sangat berbahaya kepada sistem demokrasi di negara ini kerana dua sebab yang penting.
Pertama, orang atau parti yang menyogokkan tawaran itu tidak menghormati pengundi yang memilih wakil rakyat berkenaan dari parti yang lain; dengan kata lain, mereka tidak menghormati 'demokrasi kuasa rakyat'.
Kedua, wakil rakyat yang menerima tawaran tak demokratik atau 'sogokan politik' itu (kalau dia menerimanya) juga menghina pengundi yang memilih dia sebagai wakil rakyat mereka dan belot kepada parti yang mencalonkan dia untuk bertanding dalam pilihan raya.
Akibatnya ialah, demokrasi rakyat tidak bermakna lagi. Pihak atau parti yang 'membeli' wakil rakyat itu, kalau akhirnya mereka berjaya membentuk kerajaan melalui cara itu, tidak layak dari segi prinsip dan nilai apa pun, untuk memerintah di negara ini dengan 'cekap, bersih, amanah dan adil' kerana tindakan mereka itu membuktikan bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa atau memusnahkan pihak lawan. Wang menjadi alat mereka untuk berkuasa.
BudayaYang akan menjadi mangsa politik kuasa wang dan budaya jual beli politik ini ialah negara dan rakyat kerana diperintah oleh kerajaan atau parti yang tidak bermoral dan antidemokrasi rakyat. Demokrasi akan menjadi semacam 'pasaran bebas', tempat wakil rakyat dan parti-parti politik (selepas pilihan raya umum) berniaga, membeli dan menjual wakil rakyat.
Wakil rakyat yang tidak mempunyai apa-apa prinsip dan matlamat perjuangan yang jelas dan teguh untuk bangsa dan negara, akan menjual dirinya dengan harga (wang) yang mahal selagi ada pihak yang mahu dan sanggup membelinya.
Parti politik dan wakil rakyat seperti itu tidak boleh dipercayai untuk mentadbirkan negara dan membela kepentingan rakyat dengan 'jujur', bertanggungjawab, adil dan amanah. Mereka tidak akan teragak-agak untuk menggunakan cara yang sama, iaitu mengupah dan membeli 'musuh' parti dengan wang untuk mengatasi atau memintas kuasa demokrasi rakyat.
Tetapi jikalau wakil rakyat melompat ke parti lain semata-mata kerana dia yakin bahawa partinya sudah tidak dapat memerintah dengan baik dan boleh merosakkan bangsa dan negara, dan percaya dengan sebijak fikiran dan seikhlas hatinya bahawa parti lawan lebih baik untuk negara dan rakyat, hal ini barangkali dapat diterima oleh rakyat, dengan syarat dia berani menemui rakyat yang memilihnya untuk menjelaskan mengapa dia membuat keputusan itu.
Dia tidak dipengaruhi atau dibeli oleh sesiapa atau mana-mana parti lain. Dia membuat keputusan itu semata-mata atas keyakinan dirinya sendiri, dan dia tidak perlu atau tidak semestinya melompat ke mana-mana parti lain. Cukup kalau dia menganggap dirinya sebagai 'wakil rakyat bebas' dalam Parlimen, seperti YB Datuk Ibrahim Ali.
Dengan demikian, dia bebas, tidak terikat untuk menyokong atau tidak menyokong kerajaan atau parti pembangkang berdasarkan isu-isu tertentu. Barangkali ini lebih baik daripada dia diikat suaranya dalam Parlimen oleh 'dasar dan peraturan partinya' dan bebas menyuarakan apa-apa sahaja yang dianggapnya perlu disuarakan untuk kepentingan negara dan bangsa.
Jadi, walaupun keputusannya masih boleh dianggap sebagai tindakan 'mengkhianati' amanat pengundi yang mengundinya, atau parti yang memilihnya sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum, pendiriannya yang baru itu mungkin lebih baik untuk rakyat dan negara.
Kita perlu juga sedar bahawa dasar, sikap dan janji-janji parti politik dan wakil rakyat sebelum dan selepas pilihan raya umum boleh jadi tidak sama lagi, sudah banyak berubah.
Wakil rakyat tidak perlu terikat dengan dasar partinya lagi sekiranya dasar itu tidak baik dan tidak berubah-ubah menurut pelbagai perkembangan baru yang berlaku di negara ini, perkembangan yang mungkin tidak diramalkan sebelum pilihan raya umum.
Jadi, wakil rakyat seharusnya mempunyai prinsip dan pendirian tertentu atau tersendiri yang baik dan jelas (dan diketahui oleh rakyat) untuk digunakan sebagai acuan atau 'model'nya untuk bebas bersuara bagi kepentingan negara dan rakyat.
Wakil rakyat seperti ini tidak perlu melompat parti atau menjual dirinya kepada parti lain. Yang penting ialah suaranya dalam Parlimen, sama ada dia menyokong kerajaan atau menyokong parti pembangkang, ini bergantung pada prinsip dan pendiriannya - apakah suaranya itu menguntungkan negara dan rakyat atau hanya mengulangi suara partinya sahaja atau suara para pemimpin kerajaan yang tidak semestinya semuanya betul dan baik untuk negara dan bangsa.
Pendek kata, dalam sistem demokrasi, suara wakil rakyat yang duduk dalam Parlimen, tidak kira parti, adalah suara yang baik dan menguntungkan negara dan rakyat. Maka soal lompat-melompat parti sepatutnya tidak timbul.
Artikel ini tersiar dalam ruangan Forum Utusan Malaysia pada 16 Mei 2008

Jumaat, Jun 20, 2008

AKUI KESILAPAN

Banyak orang, baik dari Barisan Nasional (BN) mahupun dari parti-parti Barisan Alternatif (BA) tidak menyangka dan terperanjat dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang baru selesai.
Mengapa tidak? Lima buah negeri dikuasai oleh BA dan di Parlimen kerajaan BN hanya mempunyai suara majoriti kecil, tidak lagi berjaya mengekalkan suara dua pertiga yang dikuasainya sejak pilihan raya pertama tahun 1955 (waktu itu BN masih dalam bentuk asalnya, iaitu Parti Perikatan yang terdiri daripada tiga parti sahaja – UMNO, MCA dan MIC).
Paling memeranjatkan ialah kecundangnya Presiden MIC dan Presiden atau pemangku Presiden Gerakan dan kalahnya beberapa banyak pemimpin parti ini dan parti MCA, baik di peringkat negeri mahupun di peringkat Parlimen.
Beberapa menteri UMNO juga kalah, iaitu Datuk Seri Zainuddin Maidin, Datuk Seri Aziz Shamsuddin dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Kekalahan Shahrizat di tangan calon muda, Nurul Izzah, 27, mungkin tidak disangka oleh banyak orang, walaupun saya meramalkan kemenangan Nurul dengan alasan-alasan tertentu yang tidak perlu saya sebutkan di sini, kecuali alasan umum bahawa faktor Anwar Ibrahim memainkan peranan penting menangnya calon PKR itu.
Apabila saya meneliti calon-calon BN yang dipilih untuk bertanding, baik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), lebih-lebih lagi di peringkat Parlimen, saya sudah dapat meramalkan kekalahan tidak kurang daripada 30 calon.
Dua sebabnya yang utama ialah: Calon itu diketahui oleh banyak orang bahawa dia tidak cekap, tidak pandai, tidak berilmu, dan sering mementingkan kuasa dan darjatnya. Kedua, calon itu diketahui atau telah menjadi isu berhubung dengan perbuatan rasuah biarpun bukan dia yang melakukannya telah dipilih untuk bertanding.
Inilah contoh kesalahan dan ketidakpekaan moral dan budaya dalam pemilihan calon untuk bertanding.
Dan ketiga, calon itu sombong, suka bercakap besar atau bercakap sesuka hatinya, tidak menggunakan otak. Bandingkan dengan Datuk Nik Aziz Nik Mat, misalnya. Beliau berkata, lebih kurang begini: ‘‘Kita semua adikberadik. Lepas pilihan raya ini, kita lupakan perbezaan kaum dan bangsa. Kita adil dan menolong orang tidak kira bangsa. Inilah ajaran Islam.”
Menurut pandangan saya, jikalau orang yang lebih baik rekodnya dan diketahui oleh rakyat sebagai orang yang baik, tidak korup, dan jujur dipilih untuk bertanding (dan tidak melantik lebih kurang 30 orang yang kalah itu) besar kemungkinan mereka akan menang.
Selain itu, beberapa bulan menjelang pilihan raya, beberapa perkembangan serius dan buruk berlaku dan didedahkan kepada rakyat. Perkembangan ini cukup mempengaruhi sikap, kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap ‘kebersihan kerajaan’.
Antara perkembangan yang buruk itu didedahkan melalui kisah ‘pita video Lingam’. Berdasarkan segala cerita yang disampaikan kepada suruhanjaya yang meneliti kes ini, rakyat mengetahui betapa buruk dan dahsyatnya cara sistem keadilan di negara ini tunduk kepada kehendak dan permainan seorang peguam dan kehendak atau kepentingan tauke-tauke tertentu.
Ia sehinggakan keputusan pengadilan hakim ditulis oleh peguam bela kes tertentu, dan hakim berkenaan cuma membaca keputusan yang ditulis oleh peguam itu. Ini kisah yang dahsyat. Rakyat akan lebih takut untuk menghadap mahkamah!
Seorang calon Parlimen dari DAP, iaitu Gwo-Burne yang menjadi saksi utama dalam kes rakaman video V. K. Lingam itu menang di kawasan Kelana Jaya, mengalahkan calon BN, Datuk Lee Hwa Beng. Gwo-Burne terperanjat atas kemenangannya.
Hwa Beng juga terperanjat atas kekalahannya kepada ‘orang yang tidak terkenal’. Siapakah yang menang sebenarnya? Yang menang ialah rakyat. Yang kalah ialah sistem yang korup.
Tindakan kerajaan menentang dan ‘memecahkan’ kumpulan rakyat yang cuba menyampaikan suara atau apa-apa memorandum kepada kerajaan juga mempengaruhi sentimen rakyat terhadap kerajaan.
Memang ada kumpulan itu, misalnya Hindraf, agak melampau dan boleh menimbulkan huru-hara dan bantahan daripada kaum lain, terutama bangsa Melayu. Tetapi ‘rusuhan’ tidak akan berlaku jikalau pemimpin kerajaan menghadapi tuntutan mereka secara bijaksana dan mesra.
Kalau saya Perdana Menteri, saya akan mengajak pemimpin-pemimpin kumpulan itu datang ke pejabat atau ke rumah untuk berbincang sambil minum kopi. Saya akan mendengar apa masalah mereka, apa tuntutan mereka, secara tertutup.
Kalau munasabah dan benar, saya akan berjanji untuk menyelesaikannya; kalau melampau dan tidak benar dan salah, mereka akan diberitahu dengan baik supaya jangan melampau. Melalui proses musyawarah ini tentu akan lahir persefahaman, permuafakatan demi kepentingan negara dan rakyat tanpa mengira kepentingan kaum. Inilah cara Islam.
Akhirnya, pihak yang mendesak dan menuntut itu dan ini akan menjadi sahabat kita; mereka akan menghormati kita dan memahami pendirian dan dasar kita. Kita juga akan memahami masalah mereka. Amanlah. Tetapi kalau mereka berdegil dan terus melakukan tindakan yang melampau, barulah kita tentang dan cegah mereka. Tindakan kita itu pasti akan disokong oleh rakyat bahkan oleh kaum berkenaan.
Soal harga barang dan harga minyak naik, ini masalah yang memang biasa berlaku dalam sistem ekonomi kapitalisme atau ekonomi ‘pasaran bebas’ yang tidak dikawal secara sistematik dan adil oleh kerajaan bagi pihak rakyat.
Kita biasa mendengar kata-kata bahawa dalam sistem ekonomi pasaran bebas yang tidak dikawal oleh kerajaan secara moralnya, rakyat yang miskin akan bertambah miskin dan golongan yang kaya bertambah kaya. Saya menerima pesanan ringkas tidak berhenti-henti sampai saya naik bosan, yang menyamakan BN dengan ‘barang naik’.
Tuntutan
Bagaimanapun masalah harga barang ini dengan mudah dapat diselesaikan oleh kerajaan asalkan kerajaan tidak terlalu berserah kepada tuntutan pasaran dan perniagaan. Tidak ada negara di dunia, termasuk Amerika Syarikat, jaguh ‘pasaran bebas’ (konon!) yang membiarkan pasaran di negeri sendiri bergerak dan berkembang secara bebas tanpa kawalan awam sehingga sistem itu menjadi sistem penindasan atau eksploitatif dan monopolistik.
BN tentunya akan mengadakan post-mortem. Istilah ini mungkin tidak sesuai digunakan kerana post-mortem hanya dilakukan terhadap mayat, iaitu orang yang sudah mati. BN belum mati lagi.
Orang-orang BN, baik yang menang mahupun yang kalah dalam pilihan raya ini, semuanya masih hidup dan mereka tentunya tahu (kalau mereka benar-benar mahu berfikir secara rasional dan bijaksana) sebab-sebab dan faktor-faktor mengapa mereka mengalami kekalahan itu.
Mereka mesti memeriksa apakah silap budaya dan moral mereka, dan tidak hanya memeriksa apakah silap dasar mereka. Saya katakan demikian kerana dasar kerajaan BN, dalam bidang apa pun, baik ekonomi atau pendidikan atau bidang-bidang lain, boleh jadi baik – mungkin cukup baik – untuk negara pelbagai etnik, bahasa, budaya dan agama ini.
Tetapi ini tidak bererti bahawa dasar yang baik itu dilaksanakan dengan ‘cekap, bersih dan amanah’. Inilah punca segala masalah yang timbul dari dasar itu. Orang menyalahkan dasar, padahal yang salah ialah pelaksanaannya yang tidak adil dan tidak cekap. Misalnya, sistem kehakiman di negara ini baik, tidak salah.
Yang salah ialah para hakim yang tidak cekap, tidak jujur, tidak amanah, dan rasuah. Melantik orang yang tidak layak, tidak cekap dan tidak amanah untuk menjadi menteri, timbalan menteri dan ketua-ketua pegawai untuk melaksanakan dasar dan sistem yang baik.
Ini adalah salah satu punca utama mengapa dasar kerajaan sering tidak berjaya mencapai matlamatnya, dan sering menimbulkan masalah. Kadang-kadang dasar yang sudah baik diubah-ubah menurut kepentingan pihak-pihak yang berkepentingan sendiri atau menurut sesuka hati orang yang berkuasa berbuat demikian, lalu timbul masalah baru yang lebih teruk.
Orang yang hendak melakukan proses memperbaiki diri sendiri hendaklah orang yang benar-benar tahu apakah faktor-faktor yang menyebabkan mereka dibenci, tidak dipercayai dan akhirnya ditolak oleh sebahagian besar rakyat negeri ini. Memang, kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa selama ini Malaysia adalah negara yang ‘aman dan makmur’.
Rakyat Malaysia, terutama kaum yang kaya, mewah dan senang-lenang, patut bersyukur. Tetapi jangan kita bandingkan keadaan ini dengan negara yang tidak aman dan makmur seperti Iraq, Afghanistan dan beberapa banyak negara lain di Asia, Afrika dan di Amerika Selatan. Kalau Malaysia memang negara yang aman dan makmur – berkat pemerintahan kerajaan BN – mengapa pula dengan ‘tidak disangka-sangka’ rakyat menghukum kerajaan BN dengan memberi kuasa kepada parti pembangkang untuk memerintah di lima negeri dan melucutkan kuasa majoriti dua pertiga BN di Parlimen?
Kalau BN mahu melakukan proses pemeriksaan diri semula atau post-mortem, soalan inilah yang perlu dijawab dengan jujur, rasional, dan tidak menggunakan sentimen dan emosi dan alasan-alasan yang salah.
Kalau pemimpin berasa mereka bersalah atau bertanggungjawab, mengakulah kesalahan dan kesilapan itu. Tiada manusia, makhluk Allah, yang sempurna. Jikalau kita tidak tahu apakah kesalahan kita yang sebenarnya, atau tidak mahu mengaku kesalahan kita kerana ego, kerana lagak sombong, padahnya akan lebih dahsyat lagi empat tahun dari sekarang, iaitu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Kata pepatah Melayu, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada berguna.
Sesal dahulu bermakna, menyesal dan mengaku akan kesalahan kita lebih dahulu lebih baik, yakni, beruntung, daripada tidak berasa kesal dahulu dan menanggung akibat buruknya kemudian.
Orang BN, khususnya orang UMNO, janganlah terus bercakap besar, mengutuk orang lain, berlagak sebagai tauke, tidak sebagai pejuang rakyat, seolah-olah merekalah sahaja yang benar dan betul. Orang lain tidak diberi peluang untuk membalas cakap-cakap mereka itu. Rakyat akan bertambah marah dan benci jikalau mereka melihat orang BN, khususnya UMNO, seolah-olah macam tidak serik-serik.
(Artikel ini telah disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 12 Mac 2008)

SALAM PEMULA BICARA


Assallamualaikum..tujuan blog ini adalah untuk berkongsi pandangan dan medan untuk meneliti pendapat yang pernah dan bakal tersiar.